Beberapa hari yang lepas kita dikejutkan dengan berita seorang pelajar sekolah berumur 7 tahun meninggal akibat digigit ular.

Sebagai seorang ibu, berita ini sangat memilukan. Apatah lagi ibu2 yang ada anak sekelas dengan anak saya, ada yang mengenali arwah dari masa sekolah tadika.

penang hill
Kenangan di Penang Hill.

Minggu lepas pula terkejut bila dengar cerita ada kes histeria di sekolah. Moga Allah melindungi anak2 dan guru2 semuanya.

Saya nak share sikit hari ni apa yang saya belajar sedikit sebanyak sebagai iktibar dari kejadian yang menimpa Allahyarham adik Nuri, semoga kejadian tidak berulang.

Tips #1: Bincang bersama anak2 dan pastikan mereka tahu apa nak buat.

Lepas anak2 balik dari sekolah, saya tanya mereka, ada tak Cikgu cerita tentang kes kematian tersebut, dan ada tak cikgu bagi apa2 nasihat? Alhamdulillah ada, dan saya juga tekankan kepada mereka:

  1. Jangan bermain di tempat2 gelap seperti lubang, atau dekat dengan lalang tinggi, sebab mungkin ada ular di situ.
  2. Jika ternampak ular di rumah atau sekolah kena bagitau ibu bapa/guru.
  3. Jika terkena gigitan ular, atau nampak kawan terkena gigitan ular di sekolah, cepat2 bagitau cikgu. Kena pegi hospital cepat.
  4. Jika terkena gigitan ular kat rumah bagitau ibu/bapa/pembantu rumah cepat, sebab kena pegi hospital cepat.
snakes
Kenangan cuti di Caversham, Perth.

Tips #2: Cara nak elak dari jumpa ular, boleh baca sini: Cara mengelak daripada di gigit ular: Wikihow (Bahasa Inggeris). Memandangkan saya tak jumpa artikel dalam BM, saya terjemah main points di sini:

  1. Belajar tentang spesies ular di tempat anda, ada yang beracun dan ada yang tak beracun.
  2. Elakkan tempat rumput atau lalang panjang.
  3. Jangan masukkan kaki atau tangan ke dalam lubang yang gelap (contoh dicelah2 batu).
  4. Ular boleh memanjat pokok jadi berhati2 bila jalan bawah pokok yang rendang.
  5. Pakai pakaian tebal seperti boots dan seluar panjang bila di luar.
  6. Jika berkhemah, elakkan bina khemah berdekatan kayu2, rumput panjang atau tempat berbatu.
  7. Berhati2 ketika berenang atau memasuki tasik dan sungai terutama selepas hujan lebat.
  8. Pastikan kawasan sekitar rumah bersih dan anak2 tidak bermain di tempat2 yang mungkin ular menyorok. Berhati2 ketika musim panas, ular akan keluar mencari air.

Tips #3: Belajar tentang rawatan first aid jika dipatuk ular.

Tips #3a): Boleh pergi kursus:

Saya galakkan guru2, ibu bapa dan masyarakat umum untuk menghadiri kursus separuh hari dan belajar first aid gigitan ular, baca lanjut di sini: First Aid Course for Snakebites (29hb Mei 2016 di Kuala Kubu Baru).

Untuk para doktor, jururawat, medical students dan lain2 boleh ikuti Asean Marine Animals & Snake Envenoming (Poisoning) Management – AMSEM 2016 (28 Nov-1 Dec di Penang).

Tips #3b): Boleh baca artikel:

Artikel oleh Malaysian Medical Gazette tentang langkah2 first aid gigitan ular.

Main points:

“Respons sekiranya anda dipatuk ular”, petikan dari Malaysian Medical Gazette.

“1) Pertama sekali anda mestilah bertenang. Jangan panik.

2) Pastikan anda menjauhi ular tersebut dan cari tempat yang selamat.

3) cuba cam kan rupa, ciri-ciri dan warna ular tersebut bagi tujuan pengesahan spesies di hospital nanti, ambil gambar ular tersebut dengan telefon pintar anda.

4) Jangan memotong atau menghisap tempat gigitan ular tersebut.

5) Dapatkan bantuan segera, panggil talian kecemasan 999. Jika anda mempunyai rakan atau saudara dan tidak mahu menunggu, segera pergi ke HOSPITAL terdekat.

6) Kurangkan pergerakkan pada anggota yang dipatuk ular. Memasang anduh atau splint utk mengurangkan pergerakkan adalah amat membantu.

7) Jangan ikat atau pasang torniquet pada anggota badan yg dipatuk ular.

8) Kurangkan pergerakkan mangsa seminima yang boleh. Kekal bertenang sepanjang masa.

9) Cuci luka patukan ular itu dengan air yang bersih tanpa menyental atau menggosok-gosok lukanya.

10) tanggalkan cincin, jam tangan, gelang dan lain-lain yang mungkin akan tersangkut kelak akibat bengkak yang keterlaluan.

11) Jika ular sudah dibunuh, boleh bawa bangkai ular tersebut ke hospital bagi tujuan pengecaman spesies. Ini adalah penting bagi memastikan anti-venom yg tepat dapat diberikan seandainya perlu.

12) berhati-hati menguruskan bangkai ular tersebut. Walau ia telah mati, kita masih boleh terdedah kepada bisanya seandainya jari kita tertusuk pada taring ular tersebut.

Rawatan lanjut akan diberi oleh Pakar Perubatan Kecemasan di Hospital anda.

(Artikel di tulis oleh Dr Abdul Rahman Abdul Kadir merupakan seorang Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Melaka).

Tips #4: Jangan lupa berdoa. Doa untuk mengelak haiwan berbisa ada di link ni.

 

 

Advertisements