💔Tanggungjawab yang diabaikan

Saya diberi kebenaran untuk menulis kisah benar yang berlaku tidak lama dahulu, sebagai iktibar dengan harapan supaya perkara yang sama tidak berulang.

Seorang wanita menceritakan bagaimana dia, selama berkahwin sepanjang tujuh tahun, tidak diberikan nafkah zahir seperti yang tertakluk dalam undang2 Islam.

Saya pelik juga, tak dapat nak bayangkan bagaimana perkara tersebut boleh berlaku.

“Semua perbelanjaan rumah tangga, awak yang tanggung?” saya tercengang, terpaksa mengulang semula soalan kerana saya sendiri susah nak hadam.😳

“Kenapa?” saya bertanya lagi. “Macam mana jadi macam tu?”

“Entahlah” katanya, “Bekas suami tak pernah sekali pun memberi wang atau pun pelawa untuk bayar”.

Terdiam saya sebentar. Ada juga ya manusia macam ni.

“Saya pula tak pandai nak minta” katanya.

“Saya ingatkan dia tahu tanggungjawab dia”, katanya lagi.

“Jadi, sekali pun, tak pernah minta?” saya berulang2 tanya benda yang sama….aduhai. Susah nak bayangkan keadaan.

“Lepas dah cerai baru minta, satu sen pun tak dapat”.

“Ya Allah”. Itu saja yang dapat saya ungkapkan.😩

“Saya tunggu selama tujuh tahun dengan harapan agar dia dapat berubah. Akhirnya, saya dah tak larat nak tunggu”, ujarnya.

“Faham kot”, sekali lagi saya cuba bayangkan andainya saya berada di tempat dia. Geramnya. Marah pun ada.😡

“Saya akan terima RM50 jika itu yang dia mampu beri” ceritanya lagi, “tapi, saya tak rasa gaji pegawai eksekutif kurang dari RM2k”.

“Masalahnya, gaji dia pun saya tak tahu berapa”.

Wahai para wanita yang bergelar isteri, saya sangat galakkan anda semua ambil tahu berapa pendapatan suami anda, terutama jika ada masalah pemberian nafkah zahir. Jika tiada masalah pun, kena ambil tahu juga, untuk tujuan merancang/buat bajet perbelanjaan rumah.

“Dia akan marah jika saya cuba tanya tentang gajinya, jadi, akhirnya, saya putus asa dan diam sahaja”, terangnya lagi.

Sedihnya saya sebagai pihak yang mendengar. Suami yang sepatutnya memberi nafkah zahir kepada isteri. Jika tak mampu, jangan lah kawin.

“Saya yang bayar duit hantaran saya sendiri” ceritanya lagi.

“Haaaa….macam mana pula tu?” saya sekali lagi terkejut besar.😳

“Bodoh kan?” katanya.

“Ya Allah”, dalam hati saya berkata, tergamak suami buat begitu pada isteri, “tunggu lah hari pembalasan”. Itu sahaja yang mampu saya katakan.😔

“Betul. Saya cuma harap tiada wanita lain yang melalui perkara yang sama”.

Pada saat itu, saya minta kebenaran untuk menulis kisahnya, dengan harapan, ada yang membaca dan ambil iktibar.

“Saya seolah tidak tahu apa tujuan perkahwinan masa tu”.

Saya pun geram bila baca tentang suami yang tak tunaikan hak isteri, tapi hak dia, laju je nak.

“Sebab tu saya cepat marah bila baca post atau komen orang lelaki tentang isteri tolong suami. Memang, isteri takde masalah tolong suami, tapi suami sepatutnya tahu lah kewajipan dia orang”.

“Apa yang jadi akhirnya?” saya ingin tahu.

“Saya minta cerai. Pada mulanya dia tak nak lepaskan”.

‘Ya Allah. Sabar je la manusia macam ni’, bisik hati saya.

“Dia melengahkan proses cerai tu sampai berbulan2, sehingga lah dia jumpa perempuan lain. Bila dah jumpa perempuan lain, dalam masa 4 hari dia lafaz cerai, dia tetapkan tarikh kawin dan perkawinannya berlangsung dalam masa 4 bulan”.

“Saya pernah terfikir, kemungkinan besar dia dah lama ada perempuan lain. Duit tak pernah cukup dan saya selalu kena bagi duit kepada dia, walaupun semua perbelanjaan rumah tangga, saya yang tanggung”.

“Masa kami mula2 nak kawin, dia memang tak cukup duit. Saya kata takpe, saya ambil loan/pinjaman, kemudian bila cukup duit, boleh la bayar bersama2”.

“Akhirnya, saya yang bayar balik pinjaman tersebut, jadi hantaran saya lah yang bayar, sewa rumah saya bayar, bil saya bayar, makanan saya tanggung”.

“Lepas tu, setiap hujung bulan, dia tak cukup duit, saya hulurkan duit lagi”.

“Kebanyakkan pasangan mungkin tak cukup duit pada masa mula2 kawin” saya bagi pendapat, sebab kami pun, begitu juga, “Tapi sepatutnya keadaan akan berubah dan menjadi semakin baik dengan peredaran masa, sebab gaji patutnya naik, dan sebagainya”.

“Ya betul”, ujarnya tanda setuju. “Saya sangat berharap dia akan turut menyumbang lepas dah semakin stabil. Ada setahun dia tak kerja sebab syarikatnya gulung tikar, masa tu, saya la bayar untuk kereta dia, bagi dia duit belanja, di atas semua perbelanjaan lain”.

Dashyat sungguh. “Tapi setahun je kan, dia tak kerja?”

“Ya, setahun je. Lepas tu dia tak berubah pun. Macam tu juga”.

“Kalau balik kampung, guna kereta saya, jadi minyak, belanja makan, semua saya kena keluarkan duit”, tambahnya lagi.

Saya, terus terang tak dapat bayangkan macam mana si isteri boleh tahan sampai tujuh tahun.😐

“Saya tak pandai nak mintak duit, dan tak nak dia naik angin. Bila bagi duit kepada mak ayah saya, dia pula tarik muka. That was the last straw”.

“Nasihat saya pada wanita lain, jangan terlalu manjakan suami. Letakkan syarat2 sebelum berkawin, tu pun, mungkin mereka tak ikut. Jangan kawin dengan lelaki yang tak boleh dibawa berbincang”.

“Saya sendiri rasa dah serik dan tak nak kawin lagi, takut sakit jiwa” ujarnya.

Boleh share sekiranya bermanfaat.

📓📔📕📗📘

PENGERTIAN RINGKAS NAFKAH

Apakah itu nafkah?

Nafkah ialah membelanjakan harta untuk sesuatu yang baik, atau untuk dirinya dan untuk orang-orang yang di bawah tanggungannya seperti isteri atau anak. [Imam Nawawi dalam Raudah at-Talibin, 6/449]

KEPADA SIAPAKAH NAFKAH ITU PATUT DISALURKAN?

Nafkah itu dibahagikan kepada dua jenis, iaitu nafkah untuk diri sendiri dan juga nafkah untuk orang lain. Nafkah kepada orang lain itu dibahagikan pula kepada 4 pembahagian. Dan keutamaan tersebut adalah nafkah ke atas diri sendiri, sebagaimana hadis:

Dari Jabir radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada seorang lelaki Bani Udzrah: “Manfaatkanlah harta ini untuk dirimu, maka berikanlah jika ada lebihan kepada ahli keluargamu, dan jika mempunyai lebihan daripadanya berikanlah kepada kerabatmu.” [Riwayat Muslim, 13/486]

Jumhur ulama’ mengatakan, kewajiban nafkah terhadap orang lain terjadi disebabkan oleh tiga perkara, iaitu hubungan perkahwinan, hubungan kerabat (kekeluargaan), dan hubungan milik (tuan terhadap hambanya). [Imam Nawawi, Raudah at-Talibin, 6/449]

Ringkasnya orang-orang di bawah tanggungan ini ialah:

1. Isteri
2. Anak
3. Hamba yang kita miliki
4. Ibu/bapa yang faqir – akan diulas lanjut kemudian

BERAPAKAH NILAI NAFKAH YANG DITETAPKAN SYARA’?

Tiada penetapan nilai, hanya ada penetapan perkara apa yang wajib ditunaikan sahaja, antaranya ialah makan minum, pakaian, tempat tinggal, dan sebagainya. Semuanya berdasarkan kemampuan si suami.

Tidaklah Islam memaksa suami menyediakan makanan yang nilainya sekian-sekian, pakaian yang materialnya dan harganya sekian-sekian. Ada kes isteri kata baju kain ni tak best, nak kain yang itu (lebih mahal), lepas tu bagi alasan ia nafkah suami yang wajib. Tidak!! Ini berdasarkan dua dalil:

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa (suami) pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu (isteri) itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.” [Surah Al-Baqarah, ayat 233]

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” [Surah At-Talaaq, ayat 7]

Menurut As-Syeikh Muhammad al-Khatib As-Syarbini di dalam kitab Mughni al-Muhtaj (4/542), bahawa suami wajib menunaikan hak-hak isteri iaitu terdiri dari tujuh perkara:

1. Makanan
2. Bahan-bahan dapur seperti rempah-ratus, bawang, minyak masak, garam, gula, asam, termasuk lauk-pauk dan sebagainya
3. Pembantu bagi isteri yang kebiasaannya mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu)
4. Pakaian
5. Alat-alat pembersih badan dan pencuci pakaian, sikat dan sebagainya
6. Perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, perkakas tidur dan sebagainya
7. Tempat tinggal (rumah)

Kita hurai satu persatu, InsyaAllah.

NAFKAH MAKANAN

Suami wajib memberi nafkah makanan kepada isterinya dengan makanan yang asasi bagi sesebuah negara, contohnya di negara kita, beras. Jumlah nafkah yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya sama dengan jumlah kafarah sumpah yang dibayar kepada setiap orang iaitu satu mudd [kitab Al-Majmu’: 19/360] iaitu kira-kira bersamaan 566.85 gram. Ini berdasarkan firman Allah:

“…Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu…” [Surah Al-Maidah, ayat 89]

Bagi suami yang mampu/kaya, dia wajib memberi nafkah sebanyak dua mudd bersamaan 1133.70 gram. Manakala suami yang tidak mampu hanya wajib memberi satu mudd iaitu 566.85 gram bagi setiap hari. Adapun orang pertengahan, wajib membayar 1 setengah mudd bersamaan 850.275 gram. [Imam Nawawi, Raudhah At-Talibin: 6/450 & Al-Majmu’: 19/358]

Walau bagaimanapun adalah harus pula memberi nafkah itu dengan segera atau melambatkannya tertakluk kepada persetujuan suami isteri tersebut. [Kitab Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu: 10/7389]

Menurut Imam As-Syirazi pula adalah harus bagi suami memberi beras itu dengan sebarang nilaian harga jika suami dan isteri bersetuju, bermaksud pasangan perlu mewujudkan persefahaman dan sepakat dalam nilai harga makanan yang suami perlu berikan. [Kitab Al-Muhazzab: 4/607-608]

Mengenai makanan daging, menurut Imam Nawawi, suami wajib memberikannya kepada isteri. Berdasarkan perkataan Imam Syafie, suami yang kurang mampu hendaklah memberikannya seminggu sekali dan sunat memberikannya pada hari Jumaat. [Raudhah At-Talibin: 6/452]. Namun “daging” itu tidaklah tertakluk pada daging lembu semata-mata (orang melayu paham “daging” tu daging lembu je)

NAFKAH BAHAN DAPUR

Termasuk dalam kategori makanan itu ialah lauk-pauk, rempah-ratus, minyak masak dan sebagainya. Dari itu suami juga wajib menyediakan alat dapur seperti tempat memasak, pinggan mangkuk dan yang berkaitan dengannya.
[Imam Nawawi, Raudhah At-Talibin: 6/ 453].

Adapun kewajipan ini gugur jika suami memberikan isteri makanan sudah siap, setiap hari (contoh: beli kat kedai atau delivery atau upah orang lain masak).

NAFKAH MENYEDIAKAN PEMBANTU

Imam Nawawi ada mengatakan bahawa perempuan itu ada dua jenis, iaitu perempuan yang kebiasaannya mempunyai pembantu (khadam/orang gaji) dan perempuan yang tidak mempunyai pembantu. Jadi, menurut mazhab Syafie tidak wajib menyediakan pembantu bagi isteri jika suami tidak mampu. Walau bagaimanapun suami dituntut menyediakan pembantu jika isteri dari keluarga yang kebiasaannya mempunyai pembantu, ataupun sebelumnya (sebelum berkahwin) telah mempunyai pembantu, itupun dalam keadaan jika suami mampu. [Raudhah At-Talibin: 6/453-455]

Dalam hal ini, suami juga dituntut (wajib) membayar nafkah bagi pembantu tersebut seperti bayaran gaji, makan minum, dan pakaian (sekali setiap enam bulan). [Raudhah At-Talibin: 6/453-455]

Imam As-Syirazi pula menyebutkan bahawa suami sepatutnya menyediakan seorang pembantu sahaja bagi isterinya dan pembantu itu adalah seorang perempuan atau seorang lelaki yang mempunyai hubungan mahram dengan si isteri. [Al-Majmu’: 19/367]

Namun, mari kita lihat hadis di bawah:

Dari Ali bin Abi Thalib, dia berkata: “Sesungguhnya Fatimah pernah mengadu kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, meminta kepada baginda seorang pembantu. Lalu baginda bersabda: “Bagaimana jika aku tunjukkan sesuatu yang lebih baik untuk mu daripada seorang pembantu; iaitu kamu bertasbih kepada Allah sebanyak tiga puluh tiga kali ketika hendak tidur, bertahmid (memuji Allah) sebanyak tiga puluh tiga kali dan membaca takbir kepada Allah sebanyak tiga puluh empat kali.” Dari sanad berbeza yakni dari Musaddad dari Yahya dari Syu’bah dari Al Hakam dari Ibnu Abu Laila dari Ali, terdapat tambahan baginda Rasulullah saw bersabda pada akhir hadis “Hal itu adalah lebih baik bagi kalian daripada seorang pembantu.” [Riwayat Al-Bukhari, 49/2822, no. 4943]

Baginda tidak menggalakkan suami isteri mengambil pembantu jika mereka dalam keadaan tidak mampu atau susah sebagaimana kehidupan Saidatina Fatimah dan Saidina Ali. Jika kita mampu/kaya, maka adalah dipersilakan untuk mengambil pembantu.

NAFKAH PAKAIAN

Ulama’ sepakat mengatakan, nafkah pakaian bergantung pada kemampuan suami kerana tidak ada nas yang menentukan kadar atau jumlahnya, walaubagaimanapun menurut mereka, hakim atau qadhi boleh menentukan kadar dan jumlahnya itu dengan mempertimbangkan keadaan dan kemampuan suami. [Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu: 10/7389]

Menurut Imam Asy-Syirazi bahawa suami wajib memberikan pakaian kepada isterinya pada setiap enam bulan sekali dengan makna yang lain dua kali dalam setahun. [Al-Muhazab: 4/613].

Walau bagaimanapun Asy-Syirazi menyebutkan bilangan minimum pakaian yang wajib diberikan oleh suami (seumur hidup isteri) adalah tiga helai pakaian pada musim panas dan empat pada musim sejuk iaitu gamis yang menutup seluruh badan, qina’ (tudung) yang menutup kepala, seluar atau kain menutup badan dan jubah (long outer garment) pada musim sejuk. [Al-Majmu’: 19/362]

Termasuk dalam kategori pakaian yang wajib disediakan itu ialah milhafah (selimut), wisadah (bantal), labid (hamparan permaidani yang tebal untuk tidur atau tilam), hasyir (tikar) dan lain-lain keperluan. [Al-Majmuk: 19/362]

NAFKAH TEMPAT TINGGAL, ALAT PEMBERSIH BADAN, DAN PERKAKAS RUMAH

Suami wajib menyediakan tempat tinggal atau rumah untuk isterinya sama ada dengan membeli, menyewa, meminjam, atau mendapatkannya melalui wakaf. [Mughni Al-Muhtaj: 3/550]

Dalil tentang kewajipan nafkah tempat tinggal ini dari firman Allah: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya – surah ni kisah pasal talaq) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu…” [Surah At-Talaaq, ayat 6]

Huraian daripada ayat ini, ulama’ menyandarkan isteri yang diceraikan itu dikekalkan di dalam rumah yang sama didiaminya ketika sebelum diceraikan (apabila dibandingkan dengan hadis-hadis), maka ia menjadi dalil tentang nafkah tempat tinggal.

Tentang alat pembersih badan dan perkakas rumah:

Ulama’ juga sepakat mensyaratkan bahawa rumah yang disediakan itu hendaklah sempurna sebagaimana kelazimannya. Yakni yang mempunyai kemudahan-kemudahan seperti dapur dan perkakasnya, bilik air (tandas) serta kemudahan-kemudahannya, alat-alat pencuci, peralatan makan minum dan lain-lain, kecuali bagi suami yang tidak mampu mengadakan kemudahan-kemudahan tersebut. [Mughni Al-Muhtaj: 4/550; & Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu: 10/7393]

Tentang tinggal rumah asing atau bersama mertua:

Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa sebaiknya suami menyediakan tempat tinggal yang berasingan daripada keluarga ibu bapa kedua-dua belah pihak.

Ini sebagaimana perbuatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang tidak menempatkan isteri-isterinya di rumah mertua baginda.

Namun sebahagian ulama’ pula berpendapat, keutamaan suami adalah berkhidmat dan mentaati ibunya, maka dalam hal ini, isteri wajib mengikut suaminya jika suaminya tinggal bersama ibu bapanya, jika situasi dan keadaan memerlukan si suami tinggal di situ.

Berdasarkan hadis; Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya: “Hak siapakah yang lebih utama patut diberikan oleh seorang isteri?” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Suaminya.” Apabila ditanya mengenai hak siapakah yang lebih utama patut diberikan oleh suami, baginda menjawab: “Ibunya.” [Riwayat Al-Hakim]

Hadis ini menunjukkan bahawa keutamaan suami itu wajiblah diberikan kepada ibunya, sekaligus bapanya juga. Jadi, si isteri seharusnya berlapang dada dan bersabar atas karenah mertua, memandangkan itu adalah tanggungjawab suami anda. Anda pasti tidak mahu suami anda menjadi anak derhaka atau pelaku dosa kepada ibu bapanya, lantas menyebabkan si suami dibalas dengan balasan neraka di akhirat kelak. Duhai isteri, mampukah anda melihat suami anda dicampak ke dalam neraka hanya kerana ingin menurut keinginan anda dengan membelakangi keinginan ibu bapanya? Pasti tidak.

Adapun, jika berlaku banyak masalah dan ketegangan antara si isteri dan mertua, si suami perlulah mencari jalan penyelesaian yang sebaik-baiknya. Si suami bolehlah membawa anak isterinya keluar dan tinggal di tempat lain jika keadaan terlalu teruk dan meruncing, namun haruslah berbincang dan memperjelaskan sejelas-jelasnya kepada ibu bapa, bahawa bukan niatnya untuk menyakiti hati ibu bapa tetapi si suami harus menjaga hati 3 jiwa ini.

 

“Curi wang suami untuk belanja”

SOALAN: Apakah hukumnya kita mengambil harta (duit) suami tanpa pengetahuan dan kebenarannya untuk perbelanjaan dan sara hidup anak-anak dan bayaran sekolah mereka?
– Pn S, Petaling Jaya

JAWAPAN: Hukum mengambil duit suami tanpa pengetahuannya untuk tujuan perbelanjaan harian makan minum dan persekolahan anak-anak telah dibenarkan oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Ini dapat difahami daripada satu peristiwa apabila Hindun binti Atabah isteri Abu Sufian, sahabat Rasulullah telah datang bertanya masalah yang sama kepada Baginda.

Berhubung persoalan ini Rasulullah bersabda yang bermaksud: Ambillah apa yang dapat menampungmu dan anak-anakmu secukupnya. (maksud hadis).
Abu Sufian adalah seorang yang sangat kedekut dalam perbelanjaannya. Dia tidak menyediakan perbelanjaan yang cukup untuk anak dan isterinya sehingga isterinya terpaksa datang mengadu menceritakan kesempitan hidupnya kepada Rasulullah. Hadis ini diceritakan oleh Aisyah, riwayat Bukhari Muslim.

Sikap kikir ini banyak diamalkan oleh sesetengah hartawan kita hari ini tetapi mereka lebih bersikap dermawan di luar kerana inginkan kemasyhuran. Perintah Rasulullah tadi menunjukkan boleh diambil duit suami tanpa kebenarannya, sekiranya pemberian suami masih tidak dapat memenuhi keperluan isteri serta anak-anaknya.

Pengambilan ini tidak dibenarkan melebihi dari keperluan tetapi sekadar mencukupi sahaja. Kalau melebihi keperluan ia adalah haram.

Daripada hadis di atas juga banyak pengajaran yang dapat kita fahami antara lain:

Pertama: Kita boleh menceritakan tabiat buruk seseorang kepada mereka yang berkenaan dan yang berkaitan sahaja tetapi umat Islam dilarang mengumpat sesama saudara Muslim.

Kedua: Harus mendengar pengaduan buruk yang disampaikan untuk pengadilan dan mendapat kepastian sesuatu hukum.

Ketiga: Boleh mengambil untuk sekadar perbelanjaan bagi sesuatu urusan yang perlu sahaja. Sekalipun tanpa pengetahuan mereka (suami).

*dipetik drpd sebuah majalah pengetahuan Islam

Wallahua’lam
Semoga bermanfaat
Terima kasih Nari Naaem untuk nota2 berkenaan nafkah zahir dan hukum mengambil harta suami untuk perbelanjaan sara hidup isteri dan anak-anak tanpa pengetahuan suami.

Advertisements