Copy paste untuk rujukan dengan kebenaran penulis, jom ambil iktibar langkah keselamatan.

DRILL KEBAKARAN

Masih kuat bau daging hangus di hidung kami setelah melalui zon kecemasan semalam. Tak terbayang pedih hati para ibubapa melihat anak-anak cedera akibat kebakaran. Namun lebih getir lagi resah ibubapa yang menanti di perkarangan rumah mayat.

Jika nak diperkatakan tentang keselamatan bangunan, memang takkan sudah. Bukan tiada bangunan awam yang beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa. Inikan pula premis persendirian. Kesedaran keselamatan bangunan masih sangat lemah dikalangan rakyat kita.

Selain kita menuding jari kepada pihak bertanggungjawab, sudahkah kita pastikan rumah sendiri kalis kebakaran? Adakah ahli keluarga sendiri di rumah arif tentang keselamatan dalam rumah? Sudahkan anak-anak kita semua bersedia menyelamatkan diri sekiranya rumah kita mengalami kebakaran?

Kebakaran, seperti apa jua kemalangan, takkan memberitahu kehadiran mereka terlebih dahulu. Ia akan datang secara tiba-tiba; tatkala semua insan tidak bersedia.

Tiada manusia yang tiba-tiba mampu menjadi bijak dan berani diwaktu kecemasan, melainkan dia pernah melalui atau mempelajarinya terlebih dahulu.

Bahkan sebagai doktor yang selalu mengendalikan kes kecemasan, saya sendiri terpaksa melalui pelbagai latihan dan simulasi supaya kekal cekap dan tak panik tatkala menguruskan situasi hidup mati. Itupun masih berdebar perasaannya.

Jadi, apakah langkah keselamatan dalam rumah?

🔹Pastikan rumah kalis kebakaran. Bermakna uruskan barang yang mudah terbakar (flammable) sebaiknya. Usah biarkan lilin, mancis, penyala api bersepah hingga anak kecil boleh mencapainya.
🔹Pastikan dapur anda selamat. Jangan biarkan penggunaan tungku dapur tanpa pengawasan. Gunakan tungku dapur yang ada ciri keselamatan; contohnya penunu gas yang mampu memutuskan gas secara automatik apabila tiada api dikesan.
🔹Pasangkan pengesan asap (smoke detector) di setiap bilik tidur, di setiap tingkat, termasuk bilik stor. Kebakaran jika berlaku tatkala semua orang terjaga adalah mudah dikesan dan diuruskan. Namun jika terjadi ketika tidur adalah paling berbahaya. Pastikan ia berfungsi dan baterinya diperiksa setiap tahun.
🔹Pastikan rumah anda mempunyai alat pemadam api (fire extinguisher) yang berfungsi. Ajar ahli rumah untuk menggunakannya.

Apakah langkah jika kebakaran terjadi?

🔹Persediaan menghadapi kebakaran adalah paling penting. Buat dan lukiskan pelan tindakan kebakaran bersama ahli keluarga. Adalah wajib untuk memastikan ada sekurang-kurangnya DUA JALAN KELUAR dengan kunci berdekatan dalam setiap plan kebakaran. Ajar ahli keluarga untuk mengejutkan sesama sendiri dan keluar segera melalui fire exit dan BERKUMPUL di suatu tempat. Adalah penting untuk berkumpul ditempat yang dirancangkan supaya bilangan ahli keluarga dapat dikenalpasti.
🔹Buat drill kebakaran untuk ahli keluarga supaya mereka lalui sendiri pengalaman tersebut dan tahu apa yang patut dilakukan. Jalankan drill kebakaran sekurang-kurangnya sekali pada waktu yang tak disangka supaya mereka lebih peka.
🔹Masukkan juga laluan alternatif dalam drill kebakaran jika mereka terperangkap di tingkat atas rumah. Pastikan mereka tahu grill mana yang berselak dan laluan mana yang sesuai. Jika rumah anda 2 tingkat, pastikan anda ada tangga keluar khas yang boleh disangkutkan pada tingkap. Ada fire escape ladder yang dibuat khas untuk bangunan 2 tingkat, 3 tingkat dan sebagainya. Pastikan ahli keluarga berlatih menggunakan tangga tersebut sekurang-kurangnya sekali.
🔹Pastikan laluan kecemasan anda tak dihalang oleh grill yang berkunci. Jika berkunci atau bermangga, sangkut dan ikatkan anak kunci berhampiran laluan tersebut. Sewaktu berlaku kebakaran; asap tebal dan terputusnya bekalan elektrik menyebabkan suasana gelap gelita. Jumpa pintu pun dah cukup baik; jangan disusahkan mencari anak kunci pula.
🔹Ajar dan latih ahli keluarga supaya bergolek turun dari katil dan merangkak keluar sekiranya tersedar dari tidur dan berada dalam asap kebakaran.
🔹Pastikan bilik yang terbakar bertutup pintu dan tingkapnya supaya kebakaran tak merebak. Oksigen adalah makanan api. Putuskan sumber makanannya.
🔹Pastikan ahli keluarga tahu nombor telefon kecemasan, iaitu 999. Jika hubungi 911, sampai ke sudah pun bomba tak datang.

Ini adalah pelan asas sahaja dan tidak termasuk pelan menyelamatkan ahli keluarga yang terperangkap. Yang itu biarlah orang yang lebih cekap melakukannya. Buat yang mudah dahulu.

Yang penting, usaha yang terbaik seperti yang dianjurkan oleh agama dan bertawakkallah. Jangan lupa amalkan zikir dan doa pendinding rumah. Api pun makhluk Allah jua, dibawah kekuasaanNya, jadi mohonlah perlindungan dariNya.

.
.

Hana Hadzrami
Rumah saya pernah terbakar juga. Insaf rasanya.

No automatic alt text available.

No automatic alt text available.

Advertisements