Alhamdulillah, book review yang pastinya dinanti-nantikan oleh semua ahli perubatan termasuklah diri ini.

Dengan kebenaran penulis, copy paste untuk rujukan.

Disebabkan permintaan ramai, inilah pengulasan buku AMANI BIRTH di dalam Bahasa Malaysia pula.

AMANI birth ialah kaedah mencapai kelahiran yang alami tanpa menggunakan perkhidmatan perubatan dan tanpa ubat-ubatan moden. Penulis buku ini lah perintis kaedah kelahiran AMANI yang membuat dakwaan yang inilah cara kelahiran yang Islam. Buku ini juga dijadikan rujukan kepada para doula AMANI birth.

Saya tersangat tertarik hati dengan semangat, keghairahan dan dedikasi penulis Aisha Al Hajjar, dengan niat beliau untuk memberdayakan atau memberikan empowerment kepada ibu-ibu yang hamil, melalui penyampaian ilmu pengetahuan, supaya ibu-ibu kita membolehkan diri mereka membuat pilihan sendiri tentang kehamilan, kelahiran anak dan masa hadapan mereka. Memang saya kagum, inilah sikap yang patut kita contohi.

Walaupun niatnya baik tetapi terdapat beberapa percanggahan di dalam buku ini, sampai terbeliak mata saya membacanya.

Pertama-tama sekali:
Jika buku ini bertujuan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada masyarakat tentang kebidanan dan kelahiran, rujukannya hendaklah kajian-kajian yang berpiawai tinggi, bukan hanya Wikipedia dan rujukan-rujukan lama. Terdapat 6 muka surat di bahagian rujukan, tetapi 2 muka surat pertama itu hanyalah rujukan kepada diri sendiri, iaitu karangan penulis ini sendiri di dalam blogspot dan di dalam internet (lihat gambar kedua). Karangan di dalam blogspot adalah pendapat sendiri dan tidak patut digunakan sebagai rujukan atau bukti yang kukuh bahawa apa-apa kaedah yang disarankan itu berkesan. Bayangkan lah kita semua menulis buku untuk menyampaikan ilmu tetapi rujukan kita ialah apa yang kita tulis sendiri dalam social media? Ada ka patut jadi bahan rujukan? Kalau thesis PhD tulis macam ini, ianya tidak akan lulus. Kalau tulis buku untuk dijadikan sumber rujukan, lagi lah tak lulus. Kita nak standard yang lebih tinggi untuk ibu-ibu yang mengandung dan doula-doula kita.

Kedua:
Penulis banyak kali membuat kritikan ke atas pakar perubatan dan doktor O&G. Sememangnya kita diberikan kebebasan bersuara dan memberi pendapat.

Kalau seorang yang bergelar Profesional nak mengkritik orang lain, buatlah dengan tujuan menyokong kebenaran, bukannya dengan tujuan untuk menjatuhkan marwah orang lain. Hilanglah kebolehpercayaan atau kredibiliti jika apa yang dituduh pula salah atau tidak pun disarankan oleh pakar perubatan.

Sebagai contoh pertama, penulis menyatakan yang ultrasound scan itu patut dielakkan dan pantauan denyutan nadi janin semasa kelahiran juga patut dielakkan kerana penggunaan alat CTG yang menggunakan teknologi ultrasound itu boleh membahayakan kesihatan. Ini ialah satu dakwaan yang sesat kerana beliau tidak ada bukti untuk menakut-nakutkan ibu kita, dan sekaligus menuduh doktor dan bidan tidak mementingkan kesihatan ibu dan janin. Sebaliknya penggunaan ultrasound itu telah membantu menyelamatkan ramai nyawa, dengan izin Allah swt.

Sebaliknya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menggabungkan 41 kajian perubatan di seluruh dunia yang berpiawai tinggi dan telah membuktikan yang anak-anak kita tidak mendapat lebih kecacatan atau keuzuran bila ibunya mendapat ultrasound semasa hamil bila dibandingkan dengan ibu yang tidak mendapat ultrasound (Lihat gambar 3). Ini telah diterbitkan pada tahun 2009. Padahal buku penulis ini diterbitkan pada tahun 2012, dan masih juga tidak menyampaikan ilmu pengetahuan yang terkini. Kajian ke atas binatang kecil tidak patut digunakan sebagai rujukan dan panduan untuk perubatan manusia. Kita manusia, bukan binatang.

Lagi satu contoh:
Amniocentesis (ujian air ketuban yang boleh membawa keguguran di dalam 1 per seratus ibu yang menerima ujian ini, dengan tujuan mengkaji baka chromosome janin) itu tidak lagi digalakkan oleh doktor kepada ibu berumur 35 atau 40 tahun ke atas. 20 tahun dahulu, ibu yang hamil diberikan pilihan amniocentesis di negara barat, untuk mengenalpasti sama ada janin itu ada Down’s Syndrome. Tapi zaman sekarang ada cara yang lain untuk screening dan doktor di zaman sekarang tidak lagi mempraktikkan cara lama melainkan ini ialah permintaan ibu sendiri. Ini menunjukkan penulis tidak mengemaskinikan ilmu pengetahuan diri dan tidak mengikut peralihan zaman bila beliau mengkritik doktor membuat amniocentesis tanpa sebab yang munasabah.

Selepas penulis memberi kenyataan yang tidak benar mengenai perubatan moden, penulis pula menyatakan ibu-ibu hendaklah lebih bertanggungjawab untuk mencari ilmu pengetahuan sebagai panduan hidup. Yang ini saya sokong seratus peratus. Kalau nak cari ilmu yang sahih, maka buku ini bukanlah rujukan yang berkualiti tinggi

Ketiga:
Adakah benar kelahiran AMANI itu kelahiran yang Islam? Memang lah berkurun-kurun dahulu, tidak ada doktor O&G. Kelahiran secara alami di rumah tanpa perubatan moden menjadi kebiasaan di masa dulu, tidak kira lah di mana di dunia ni, sama ada Islam ka tidak Islam. Zaman dulu, memanglah kadar kelahiran bayi mati dan kematian ibu bersalin lebih tinggi daripada zaman sekarang, tetapi mereka tidak ada pilihan yang lain. Kenapa pulak ini dikatakan cara yang Islam, padahal orang yang tak Islam pun bersalin dengan cara yang sama juga. Macam mana lagi nak beranak cara yang tak Islam?

Saya suka kejujuran penulis, yang mengaku yang beliau bukanlah seorang ulama Islam, tetapi beliau boleh pula membuat dakwaan yang kelahiran AMANI itu ialah kelahiran yang Islam. Sedangkan tidak ada pendapat atau ulasan daripada para ulama yang bersetuju dengan penulis bahawa AMANI itulah cara yang Islam untuk bersalin. Ulasan-ulasan mengenai buku ini terdapat di belakang buku ni, dan semuanya dibuat oleh doula-doula, bukan nya ulama Islam.

Penulis juga mengaku, yang bila dicari di dalam Quran, Hadith dan Sunnah, tidak ada rujukan tentang kaedah bersalin atau panduan untuk bersalin. Tetapi penulis menyatakan disebabkan pada zaman Rasulullah s.a.w, semua ibu bersalin secara alami tanpa menggunakan apa-apa ubat perubatan moden, maka penulis membuat andaian yang inilah caranya yang Sunnah untuk bersalin. Sedangkan kita tidak tahu sama ada pada masa dahulu juga mereka sudah pun mengikut peralihan zaman tentang perubatan dan kita tidak tahu jika mereka berusaha dahulu menggunakan apa yang mereka ada sebelum bertawakkal? Adakah ini caranya nak memberdayakan ibu-ibu kita supaya mereka ’empowered’ untuk membuat pilihan sendiri?

Penulis mengatakan yang beliau ialah seorang wanita Amerika yang berkahwin dengan lelaki Arab. Beliau tidak setuju dengan adat orang Arab dimana kaum suami tidak perlu berada di sisi isteri untuk memberi sokongan moral semasa bersalin. Beliau meluahkan hasrat beliau mengubah minda kaum suami melalui pendidikan tentang kelahiran, supaya suami bersama dengan isteri semasa bersalin. Saya suka perubahan ini, menggalakkan suami memberi lebih sokongan kepada isteri.

Tetapi, yang saya hairan tu, jika penulis membuat andaian yang adat orang Arab dan cara hidup orang Arab pada zaman Rasulullah s.a.w (terutamanya kaedah bersalin) itu mestilah cara yang ‘Sunnah’ yang patut diikut di zaman moden, kenapa pula penulis hendak mengubah adat orang Arab tentang kelakuan kaum lelaki ketika isterinya bersalin? Bukan kah ini juga ‘Sunnah’ jika kita mengikut andaian yang sama?

Sudah jelaslah penulis ini memilih-milih yang mana satu adat orang Arab pada zaman Rasulullah s.a.w yang hendak diikuti sebagai ‘Sunnah’ dan yang mana satu hendak diubah melalui pendidikan.

Saya nak bagi peringatan, bahawa adat orang Arab itu tidak patut dicampur-adukkan atau dikelirukan dengan pengajaran Islam. Ugama Islam itu bukan lah adat orang Arab. Penulis ini menyatakan yang ‘Islam dilahirkan di negara Arab’, tetapi ini tidak semestinya bermakna yang adat orang Arab pada zaman Rasulullah s.a.w. ialah cara yang Sunnah. Sebaliknya, Rasulullah s.a.w. sendiri telah mencabar dan mengubah cara kehidupan jahil orang-orang Arab pada zaman itu.

Keempat:
Banyak kali di dalam buku ini penulis menggunakan ayat Quran secara ‘literal’ untuk menyokong pendapat beliau mengenai kelahiran alami. Padahal tidak ada rujukan di dalam Al-Quran atau Hadith, tentang kaedah kelahiran yang Islam atau tidak Islam. Ulama Islam tidak menggalakkan pentafsiran Al-Quran secara ‘literal’ iaitu menggunakan ayat yang diturunkan untuk pencerahan yang lain untuk tujuan yang lain (contohnya kelahiran). Ulama Islam membuat tafsiran secara ‘kontekstual’. Ini bermakna memahami kenapa ayat itu diturunkan, sejarah di sebaliknya, dan membuat penilaian tentang keadaan di masa itu sebelum membuat tafsiran supaya kita tidak salah faham.

Kelima:
Hak ibu membuat pilihan hendaklah dihormati. Ibu berhak untuk memilih kelahiran tanpa ubat untuk menahan sakit, dan ibu juga berhak membuat pemilihan epidural. Apa yang bercanggah di dalam buku ini ialah penulis menyatakan ibu mempunyai hak untuk memilih sendiri, kemudian memberi amaran ‘Jangan ambil ubat tahan sakit dan Jangan ambil epidural’

Itu berat sebelah namanya, dan tidak pula menghormati kehendak ibu.

Sememangnya ada banyak kelebihan Doula dan peneman yang memberi perangsang kepada ibu semasa bersalin. Tetapi Doula tidak patut memberi nasihat perubatan atau menyampaikan maklumat perubatan yang salah. Penulis buku AMANI ini bukan sahaja Doula, beliau juga bidan bertauliah. Ada perbezaannya dengan Doula peneman semasa bersalin yang tidak mempunyai kelayakan perbidanan. Tetapi semasa beliau menulis buku ini beliau masih lagi belajar nak jadi bidan. Ada banyak kesalahan dari segi maklumat perubatan dalam buku ini dan ianya tidak sesuai dijadikan sebagai rujukan untuk ilmu perbidanan atau pun ilmu untuk doula-doula kita.

Imelda Balchin
Professor of Maternal and Fetal Medicine,
Department of Obstetrics & Gynaecology,
University Malaya Medical Centre,
Kuala Lumpur.

 

Image may contain: 1 person, text

Image may contain: text

Image may contain: text

Yang pastinya, kali pertama saya dengar berkaitan doula dan AMANI birth ni berkaitan dengan kematian seorang ibu semasa melahirkan anak di rumah yang hanya disambut oleh seorang doula yang mengamalkan AMANI birth.

Perlu difahami, saya tidak mengecam doula, kelahiran di rumah mahupun AMANI birth, saya berpendirian sama seperti Prof Imelda, semua pihak perlu perbaiki mana yang patut untuk keselamatan dan kesejahteraan semua ibu yang melahirkan anak. Doula-doula mainkan peranan sebagai penyokong dan bukannya menjadi doktor atau bidan, dan semua ahli perubatan termasuk bidan perlu mengamalkan perubatan berdasarkan bukti.