Alhamdulillah, 2018 setakat ini mencipta pelbagai kenangan pahit manis buat diri ini yang bergelar ibu.

Entah, anak masuk asrama, bukan anak pertama, bukan anak sulong, tetapi anak yang pertama masuk asrama, menghidupkan kembali memori zaman kanak-kanak riang gembira.

The care-free days.

Selepas habis ujian SRP (batch terakhir kalau tak silap, tahun 1992, tahun berikutnya batch pertama ambik PMR), saya membuat dua keputusan yang kesannya mungkin berkekalan hingga hari ini.

Yang pertama, saya membuat keputusan untuk memakai tudung, dalam keluarga yang kesemua adik-beradik perempuan tidak memakai tudung. Saya buat keputusan untuk pakai tudung bukan atas suruhan atau pujukan sesiapa, tetapi keputusan sendiri.

Keputusan kedua, saya berazam untuk masuk ke sekolah berasrama penuh. Keputusan kedua tu berkait rapat dengan keputusan pertama.

Saya lahir di HKL dan dibesarkan di Petaling Jaya. Sekolah pula, masa tu Sekolah Menengah Perempuan Sri Aman, memang sekolah yang femes di Selangor. Ada kawan-kawan yang sanggup berulang dari Shah Alam untuk datang ke PJ semata-mata nak sekolah di SMKPSA. Ada juga kawan-kawan dari Felda yang duduk asrama di Kelana Jaya sebab nak sekolah di SMKPSA.

Kita pulak, nak masuk MRSM.

Ya, mungkin sekali imbas, agak tidak logik.

Adik-beradik saya yang lain sorang pun tak masuk sekolah asrama, Alhamdulillah, semua berpeluang belajar hingga ke peringkat university dan empat dari lima kami mendapat tajaan belajar di luar negara (walaupun mereka tak masuk sekolah asrama).

Ok lah, itu cerita kami dahulu.

Kenapa tiba-tiba teringat kisah yang lampau?

Tahun ni, anak masuk asrama. Mula-mula dia dapat tawaran masuk sekolah kawalan. Sekolah tu pulak ada pilihan asrama. Kawan dia ada yang masuk asrama kat situ dan mungkin atas pengaruh kawan-kawan, hari kedua sekolah, anak pun cakap nak masuk asrama kat situ.

Saya pun pergi lah berjumpa guru PKHEM.

Boleh katanya, tapi kena jumpa Penyelia dan masuk petang tu jugak, pukul 4.

Masa tu dah dalam pukul 10.30pagi. Jumpa penyelia asrama, dapat senarai barang-barang keperluan. Pegi lah ke koperasi, beli barang asrama, ada baju, cadar, kain untuk buat baju melayu dan benda-benda lain, dalam RM160 lebih kalau tak silap. Tu pun ada barang yang out of stock.

Lepas tu terus pegi shopping barang-barang lain macam baldi, sabun basuh baju, toiletries, penyepit baju, hanger, selipar, stok makanan macam maggi, ikut je senarai yang asrama dah sediakan. Adalah dalam RM seratus lebih juga kalau tak silap.

Pakaian sekolah pula kena pakai sampai pukul 5ptg sebab lepas tu baru asrama di buka kepada pelajar. So nak elakkan anak kena basuh baju kerap, beli lah sampai 4 pasang seluar dan 5 helai baju. Masa tu baju sekolah sale, murah la, dalam RM9 je sehelai, tapi seluar agak mahal juga. Takpe lah, demi keselesaan anak dan itu impian dia, nak masuk asrama, mungkin terpengaruh kawan-kawan jugak la, dari darjah enam lagi, kita mak bapak, support sahaja asalkan benda yang baik.

Rupa-rupanya setiap sekolah asrama ada undang-undang masing-masing. Kat sekolah ni, boleh balik bermalam setiap dua minggu. Minggu yang tak balik tu, boleh lawat anak, hari Jumaat dari pukul 10pagi sampai 6petang. Tapi asrama very lenient. Kalau visit hari Sabtu pun ok, takde kena marah atau sekat pun.

Mula-mula, rupa-rupanya, mak yang lebih son-sick dari anak homesick. Saya tak sangka. Sebab pengalaman sendiri, 6 bulan menangis setiap malam dalam dorm masa orang lain semua dah tidur. Ye lah, anak manja kot. Entah. Haha.

Masa mula-mula sampai asrama pun, my heart sunk.

Teruknya keadaan bilik, katil, almari pakaian. Belum lagi tengok bilik air.

Tapi sebab saya sendiri yang buat keputusan nak masuk asrama, terpaksa hadapi dengan tabah juga.

Mak saya pernah cuba pujuk, tak payah la pegi. Tapi saya berdegil, nak jugak. Arwah ayah ok je, tak sokong dan tak larang, tak pulak cuba pujuk untuk tak pergi macam mak. Ingat lagi masa kakak sulung dapat offer masuk sekolah asrama di Terengganu, Arwah ayah macam excited la isi borang semua, sekali tu, Mona said no, tak nak pegi. Hmmm. Dia dah dengar tempat kat tengah-tengah hutan kot, terus tak jadi. Maklum lah, kami kan PJ girls. Tapi Taiping takde lah sejauh macam Terengganu.

Mungkin juga kalau Mona masuk asrama dulu, kami akan pergi lawat, dan saya kemungkinan besar akan menolak offer untuk suami masuk HUSM buat masters/MMED. Tapi apakan daya, semuanya suratan takdir…

Maka, tak terkejut lah bila anak cerita, sebenarnya, anak tak cerita sangat pun, boy la katakan, beza dengan anak girl, semua cerita kita dapat tahu in detail. Bila pegi asrama masa melawat, buat jamuan sikit sebab birthday, ada la kawan-kawan yang cerita tentang kawan-kawan lain yang pindah sekolah, ada yang masuk SBP, MRSM, ada yang lepas masuk MRSM seminggu, datang balik sekolah kawalan kerana homesick, dan sebagainya.

Anak sendiri pun, masa minggu ketiga, cikgu telefon suruh ambil, demam. Memang betul la badan dia panas dan ada kawan lain pun yang sebelum tu sakit, MC 2 hari sebab demam. Mungkin juga homesick, tak tau lah. Haha. Apa pun, lepas dah baik tu sambung balik sekolah asrama, ok je. Takde complain.

Maknya pulak, masa minggu pertama, sangat-sangat risau.

Boleh kata everyday pergi ‘mengendap’, jumpa sekejap di pagar. Nasib baik lah sekolah dekat, dalam 3 km je dari rumah. Itu lah yang dinamakan son-sick kot. Mak saya takde pulak dotter-sick masa saya masuk asrama dulu, tapi sekolah pun jauh, 3 jam drive dari rumah.

Tiga bulan juga la nak hilang son-sickness tu. Lepas dah tiga bulan baru mak ok. Tak risau sangat, tak rindu sangat, tak rasa macam kehilangan.

Tu je nak cerita.

Bagi kawan-kawan yang anak baru masuk asrama atau masih kid-sick, saya doakan semua dipermudahkan urusan.

Anak-anak cemerlang akan cemerlang di mana-mana sekolah pun, insya Allah.