Sekali lagi isu kahwin bawah umur hangat didebatkan apabila seorang lelaki warganegara Malaysia berkahwin dengan budak perempuan berumur 11 tahun di Thailand.

Nak save hujah di bawah untuk rujukan:

KAHWIN 41 tahun (suami) V 11tahun (isteri)

DALIL AYAT AL QURAN
Tidak ada satu ayat Quran dengan jelas memberikan umur minima perkahwinan yang spesifik tetapi mengguna terma ‘balagh an nikah’ seperti dalam surah an Nisa: 6

وَابْتَلُوا الْيَتَامَىٰ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغُوا النِّكَاحَ فَإِنْ آنَسْتُمْ مِنْهُمْ رُشْدًا فَادْفَعُوا إِلَيْهِمْ أَمْوَالَهُمْ ﴿النساء:٦﴾

“Dan ujilah anak yatim itu sampai mereka cukup umur untuk kawin. Kemudian jika menurut pendapatmu mereka telah cerdas (pandai memelihara harta), maka serahkanlah kepada mereka harta-harta mereka.”

DALIL DARI HADITH
Diriwayatkan daripada Aisyah RA, bahawa beliau berkata:
تَزَوَّجَنِي رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْه وَسَلَّمَ وَأَنَا بِنْتُ سِتٍّ ، وَدَخَلَ عَلَيَّ وَأَنَا بِنْتُ تِسْعِ سِنِيْنَ ، وَكُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menikahiku ketika umurku enam tahun dan baginda SAW telah bersamaku ketika umurku sembilan tahun dan ketika itu aku masih bermain-main dengan budak perempuan yang kecil”.
[Riwayat al-Nasa’ie, no. Hadith 3325][Hadith ini dinilai sahih oleh Ibn Hibban di dalam Sahih Ibn Hibban]

تَزَوَّجَنِي رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْه وَسَلَّمَ لِسِتِّ سِنِيْنَ . وَبَنَى بِيْ وَأَنَا بِنْتُ تِسْعِ سِنِيْنَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menikahiku ketika umurku enam tahun dan baginda SAW telah bersamaku ketika umurku sembilan tahun”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 2547]

تَزَوَّجَنِي النَبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم وَأَنَا بِنْتُ سِتِّ سِنِيْنَ

Maksudnya: “Nabi SAW telah menikahiku ketika umurku enam tahun”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 3605]

Namun begitu, ada perdebatan mengenai hadith diriwayatkan oleh Hisham bin Urwah yang menyatakan umur Aishah bukan 6 tahun ketika perkahwinan tetapi berumur dalam linkungan 14 – 16 tahun beserta dengan dalil2.

Antaranya di mana Rasulullah tidak membenarkan kanak-kanak lelaki yang berumur 14 tahun ke bawah untuk mengambil bahagian dalam peperangan. Di kalangan kanak-kanak bawah umur ini termasuklah Samrah bin Jundub, Bara’ bin Azib, Anas bin Malik, Zaid bin Thabith dan Abdullah bin Umar r.a. . Ibn Umar r.a. tidak dibenarkan menyertai Perang Uhud kerana beliau berumur 14 tahun ketika itu dan peperangan pertama yang disertainya ialah Perang Ahzab atau dikenali dengan nama Perang Khandak. Oleh itu, had umur untuk menyertai satu-satu peperanganialah 15 tahun. Angka ini amat penting sehingga sesetengah ahli feqah, dengan berdasarkan riwayat Ibn Umar ini, telah menetapkan had kematangan ( baligh ) adalah sekurang-kurangnya 15 tahun.

Jadi sekiranya Rasulullah s.a.w. hanya membenarkan mereka yang berumur 15 tahun ke atas untuk mengambil bahagian dalam peperangan, bagaimana mungkin seorang kanak-kanak perempuan di bawah umur dibenarkan untuk turut serta dalam peperangan?

Mengikut sejarah, Aishah ikut serta dalam peperangan Badar dan Uhud , bermakna umur beliau adalah 15 tahun keatas ketika itu. Berdasarkan riwayat Bukhari ini jelas menunjukkan:
1-Aishah mengikuti peperangan Uhud dan umur beliau telah menjangkau 15 tahunketika itu,
2-Jika umur Aishah pada 625 Masehi (3 hijrah) ialah 15 tahun, maka Aishah dilahirkan pada 610 masehi,
3-Aishah berkahwin dengan Rasulullah pada 623 masehi bersamaan 1 hijrah bermakna pada ketika itu beliau berusia 14 tahun.

DALIL UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM BERTULIS DI MALAYSIA

AKTA 303
AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN II – PERKAHWINAN

Seksyen 8. Umur minimum untuk perkahwinan

Tiada suatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.
[Pin. Akta A902:s.4]

Peruntukan ini bermaksud hakim mahkamah syarie tidak akan meluluskan permohonan perkahwinan di bawah umur seorang kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun melainkan dengan keizinan wali mujbir/ayahnya atas sebab2 yang dibenarkan di bawah hukum syara setelah kedua pihak di panggil ke mahkamah dan yang utama kebajikan kanak-kanak bawah umur itu terpelihara.

CONTOH KES2 TIDAK DILAPOR/UNREPORTED CASE
1. Kuala krai, kelantan 2010. Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun telah dinikahkan oleh ayahnya dengan seorang lelaki berusia 41 tahun, Sudin Ajaib yang sudah pun beristeri dengan alasan mengikut sunnah Rasululullah. Alasan yg diberikan adalah mengajak anaknya bersekolah di tahfiz milik lelaki tersebut kerana sekiranya anaknya menjadi hafizah memudahkan ibubapanya senang di akhirat kelak. Tertipu dengan ajakan tersebut, ayahnya telah membawa anaknya tanpa pengetahuan ibunya sendiri dan telah menikahkannya dengan Sudin. Sudin telah melarikannya ke kuala lumpur dan setelah 20hari, kanak-kanak itu dijumpai ditinggalkan dalam keadaan tidak bermaya di Masjid al Ikhwan, Taman Samudera. Ibunya telah dihubungi polis dan ketika bertemu dia didalam keadaan trauma.

2. Kuala Lumpur. Seorang gadis berusia 14 tahun telah bertunang secara rasmi dengan teman lelaki pilihannya yang berusia awal 20an dengan keizinan ayahnya. Semenjak bertunang, si gadis dengan pasangannya semakin kerap keluar dan melakukan maksiat atas alasan mereka telah bertunang dan bakal menjadi suami isteri. Demi mengelakkan maksiat lebih besar, si ayah membuat permohonan ke mahkamah syariah untuk mendapat keizinan bertulis membenarkan perkahwinan anaknya yand berusia di bawah umur minima 16 tahun. Untuk menjaga agama, nasab dan maruah keluarga, mahkamah mengizinkan perkahwinan gadis tersebut yang berusia di bawah umur minima.

PERSOALAN?
Perkahwinan yang viral dibincangkan ini ialah antara seorang lelaki berusia 41 tahun yang telah mempunyai 2 orang isteri dengan seorang kanak-kanak berusia 11tahun, yang mana isteri ke 3 ini lebih muda dari anak sulong lelaki tersebut yang berusia 16 tahun. Kesahan/validity perkahwinan ini dari hukum syara tidak dipersoalkan sama sekali kerana wali mujbir/ayah telah memberi keizinan, mendapat persetujuan dari kanak-kanak tersebut dan lain-lain rukun nikah telah dipenuhi. Namun bila menggunakan hadith Rasulullah berkahwin dengan Aishah di usia yang sangat muda untuk membenarkan tindakan untuk lelaki ini untuk bekahwin memang adalah satu yang hina (sebagaimana sesetengah lelaki menggunakan hadith Rasulullah berpoligami atau ayat 3:surah an Nisa sedangkan mereka tidak tidak berkemampuan dan berlaku ‘adil) bilamana:

1. Menurut akhbar, sebaik sebelum berkahwin, bilamana isteri kedua bertanya adakah dia akan berkahwin dengan kanak-kanak ini? Lelaki ini menidakkan dengan alasan dia tidak akan kahwin dengan budak yang sebaya dengan anaknya sedangkan sebaliknya.
2. Bila lelaki ini sudah berkahwin, dan diketahui isteri keduanya setelah diberitahu isteri pertama, lelaki ini terus tidak berhubung dengan isteri-isterinya.
3. Isteri sedia ada sendiri berkata bahawa lelaki ini tidak bertanggungjawab dalam keadaan dia berpoligami di mana nafkah isteri-isteri dan anak-anak sedia ada tidak diberikan secukupnya
4. Yang paling hina dan menjijikkan bila lelaki ini mengaku telah mempunyai hubungan dengan kanak-kanak bawah umur sejak 4 tahun lepas ketika kanak-kanak ini berumur 7tahun sehingga kanak-kanak semuda ini telah jatuh cinta dan sayang kepada si lelaki ini.

Betapa hina perbuatan dia mengambil kesempatan ke atas seorang kanak-kanak yang hidup bersama ibubapa yang susah, semata-mata untuk memuaskan nafsu serakahnya dan kemudian menggunakan hadith Rasulullah sendiri berkahwin dengan Aishah yang ketika itu seorang kanak-kanak. Walaupun dia mengatakan tidak akan menyentuh atau tidur bersama sehingga kanak-kanak ini cukup umur, tapi dia “grooming” kanak-kanak tersebut sejak dia berumur 7tahun adalah satu yang telah dirancang.

Adakah tujuan Rasulullah berkahwin Aishah sama seperti si lelaki ini? Adakah Rasulullah bercinta sebelum berkahwin? Adakah Rasulullah seorang yang tidak adil dan tidak bertanggungjawab? Adakah Rasulullah mengambil kesempatan ke atas orang-orang yang susah dan miskin? Cerminlah diri anda terlebih dahulu. You are the man in the mirrow.

Tolong jangan menggunakan agama untuk kepentingan nafsu dan kejahatan diri. Cukup2 lah menunggang agama demi kepuasan anda. Wallahu ‘alam.

Pandangan peribadi sebagai pensyarah Undang-undang Keluarga Islam.

Ulasan Dr MAZA pula…

DrMAZA.com

MENIKAHKAN ANAK PEREMPUAN TANPA RELA

Prof Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
(Mufti Negeri Perlis, Malaysia)

Dalam Mazhab al-Syafi’i secara khususnya, bapa dan datuk merupakan wali mujbir yang bermaksud wali (pelindung) yang boleh memaksa anak perempuan berkahwin sekalipun tanpa kerelaan anak perempuan berkenaan. Dalam kata lain, sekalipun anak perempuan tidak mengenali siapakah suami itu dan tidak tahu apakah risiko atas perkahwinan tersebut. Atas pegangan Mazhab Syafii, kita mendapati banyak kes-kes paksaan kahwin dalam masyarakat Nusantara terutama pada zaman dahulu yang mana wanita tidak banyak mempunyai pilihan. Filem P. Ramlee, ‘Penarik Baca’ merupakan satu kritik social atas amalan tersebut yang berleluasa pada zaman itu. Di Indonesia, filem ‘Perempuan Berkalong Serban’ juga menceritakan bagaimana seorang kiyai menikahkan anak perempuannya walau tanpa kerelaan. Ini semua dianggap boleh dan sah, atas pegangan di sisi Mazhab Syafi’i. Bahkan beberapa pandangan dalam mazhab yang lain juga menganggap sah pernikahan tanpa rela anak perempuan itu. Hal ini juga membawa kepada kalangan bapa menikahkan anaknya yang masih kecil dan mereka hanya tahu mereka dikahwinkan apabila tiba masanya. Untuk menjawab hal ini, saya ingin menyebut beberapa hal di sini;

1. Kita menghormati ketokohan al-Imam al-Syafii r.h (meninggal 204H) sebagai tokoh ilmuwan yang agung. Kita juga menghormati Mazhab Syafii sebagai mazhab yang diamalkan oleh majoriti penduduk di negara ini, NAMUN seperti yang selalu saya tegaskan, kita tidak boleh fanatik tanpa menilai semula pandangan-pandangan yang diberikan oleh mana-mana mazhab. Masyarakat moden khususnya, tidak boleh terikat dengan hanya satu mazhab, sebaliknya hendaklah melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas. Dunia yang global ini, bagaikan satu kampong sahaja. Manusia terdedah kepada realiti yang baharu dan pelbagai. Maka, pendapat dan kesimpulan dari mazhab dan tokoh yang pelbagai hendaklah dilihat dan disemak secara seimbang dalam mencari pendapat yang lebih kukuh dari segi dalilnya. Demikian hukum-hakam dalam Islam itu semestinya zahir padanya keadilan, hikmah dan tidak membawa kepada keadaan yang lebih buruk. Itulah sifat Islam yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Pandangan-pandangan yang diberikan oleh mana-mana tokoh terdedah kepada penilaian dari segi hujah nas dan konteks semasa ataupun realiti yang ada.

2. Dr Yusuf al-Qaradawi ketika menolak pendapat yang memboleh bapa memaksa anak perempun berkahwin mengulas: “Siapa tahu, jika al-Syafi’i r.a. hidup di zaman kita dan melihat kemajuan pengetahuan dan ilmu yang dicapai oleh anak gadis hari ini, sehingga mereka mampu menilai lelaki yang datang meminang mereka, atau jika mereka kahwin tanpa kerelaan akan menyebabkan kehidupan rumah tangga menjadi neraka, barangkali jika (ai-Imam) al-Syafi’i melihat hal ini dia akan mengubah pendapatnya seperti mana dia telah mengubah banyak pendapatnya”. (al-Qaradawi, Al-Fatawa al-Mu’asarah, 337-338, Beirut: Dar Ulil al-Nuha).

3. Kita lihat kepada hadis-hadis Nabi s.a.w, baginda tidak membenarkan paksaan dalam perkahwinan. Sekalipun pada zaman itu, paksaan ke atas wanita dalam pelbagai keadaan berlaku dalam masyarakat Arab, Parsi dan selain mereka, namun Islam datang memansukhkan paksaan ke atas wanita dalam menentukan pilihan hidup mereka. Dalam hadis dararipada Ibn ‘Abbas,
أَنَّ جَارِيَةً بِكْرًا أَتَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَتْ أَنَّ أَبَاهَا زَوَّجَهَا وَهِيَ كَارِهَةٌ فَخَيَّرَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Seorang gadis dara datang kepada Nabi s.a.w memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka, maka Nabi s.a.w memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah , dinilai sahih oleh al-Albani).

Maka dalam Sahih al-Bukhari yang merupakan kitab rujukan hadis yang terpenting ada Bab Iza Zauwaja Ibnatahu wahiya karihah fanikahu mardud (Apabila bapa mengahwinkan anak perempuannya, sedangkan anak perempuan itu tidak suka maka nikah itu ditolak).

4. Dalam hadis yang lain riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w bersabda:
لاَ تُنْكَحُ الأَيِّمُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَ ، وَلاَ تُنْكَحُ البِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ
“Jangan dikahwinkan janda sehingga mendapat arahannya (dia meminta) dan jangan dikahwinkan anak dara sehingga diminta keizinannya”.
Al-Bukhari dalam kitab sahihnya meletakkan hadis ini dengan tajuk: باب لا ينكح الأب وغيره البكر والثيب إلا برضاها iaitu bermaksud “bab; bapa dan selainnya tidak boleh menikahkan anak dara ataupun janda tanpa kerelaan”.

5. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) ketika mengulas tentang paksaan anak perempuan berkahwin dengan kuasa wali mujbir, beliau menyebut: “Adapun menikahkan wanita dalam keadaan dia benci maka ini menyanggahi prinsip Islam dan akal yang waras. Allah tidak mengizinkan wali (bapa/datuk) memaksa anak perempuan atas sesuatu pembelian atau sewaan tanpa keizinannya, tidak juga boleh memaksa makanan, minuman dan pakaian yang dia tidak mahu. Bagaimana pula boleh memaksanya atas persetubuhan dan pergaulan dengan orang yang dia benci?! Memaksa pergaulan dengan orang yang dia benci bergaul dengannya?! Allah menjadikan hubungan antara suami isteri itu cinta dan kasih. Jika perkahwinan itu tidak menghasilkan kecuali kebencian dan berpaling daripada suaminya, mana di manakah cinta dan kasih dalam perkahwinan itu?” [Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 16/239. Riyadh: maktab al-‘Abikan].

6. Jelas dalil-dalil mensyaratkan kerelaan wanita dalam perkahwinan. Kerelaan itu hendaklah dilihat dalam konteks yang sebenar pada tempat dan waktunya. Anak perempuan yang bawah umur, yang tidak memahami realiti apa yang dia persetujui, tidak boleh dianggap rela. Realiti dan cabaran kehidupan zaman ini dan dahulu juga tidak sama. Untuk hidup di zaman moden, di negara kita, anak perempuan perlukan pendidikan dan pelajaran yang secukupnya. Jika dia masih lagi di sekolah rendah, bagaimanakah dia akan meneruskan dunia pelajarannya jika dia berkahwin di peringkat itu. Wali yang menikahkan anak kerana kemiskinan yang mana dia mahu perolehi keuntungan tertentu, tidak layak menjadi wali. Wali itu bermaksud pelindung. Dia sudah tidak menjadi pelindung. Bahkan dia sudah menjadi pemangsa.

7. Ingin diulangi di sini apa yang sarjana besar Islam al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) sebut: “Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).

8. Sekali lagi ditegaskan, betapa perlu kita bersifat terbuka dalam menilai pandangan-pandangan agama sekalipun dari mazhab yang kita terbiasa dengannya. Islam itu hujah. Islam diutuskan untuk kebaikan manusia bukan untuk sebaliknya. Maka, segala nas, tafsiran nas dan pendapat dari apa aliran sekalipun, hendaklah dilihat dalam konteksnya yang betul. Jangan kita letakkan teks pada konteks yang salah. Kita tidak wajar terlalu terikat dengan sesuatu mazhab tetapi yang mesti kita lakukan berusaha memahami hujah-hujah para sarjana dari apa mazhab sekalipun selagi tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah.