#Bahaya_Lotus_Birth

Lotus birth adalah amalan di mana tali pusat tidak dipotong selepas bayi dilahirkan. Bayi masih disambung kepada uri sehingga tali pusat kering dan tercabut sendiri dari pusat bayi. Ini biasanya akan berlaku beberapa hari selepas kelahiran.

Menurut Royal College of Obstetricians and Gynaecologists (RCOG) di United Kingdom, pada masa ini, tiada kajian yang wujud mengenai lotus birth. Tidak ada bukti menunjukkan amalan ini mendatangkan kebaikan untuk bayi dan tiada kajian menunjukkan bahawa ia adalah selamat.

Sebelum memilih untuk melakukan lotus birth, setiap ibu atau bakal ibu harus memahami risiko termasuk risiko jangkitan kuman yang mungkin bayi alami.

Terdapat risiko jangkitan di uri yang kemudian merebak kepada bayi. Uri mempunyai risiko untuk mendapat jangkitan kerana kandungan darahnya. Selepas kelahiran bayi dan setelah tali pusat berhenti berdenyut, uri adalah bahagian yang telah mati.

Menurut pendapat Dr. Joseph G. Ouzounian, associate professor dan ketua bahagian maternal-fetal medicine di USC Keck School of Medicine di Los Angeles, risiko-risiko lain termasuk ‘thromboembolism’ iaitu darah beku dalam uri terpisah dan masuk ke saluran darah bayi, kemudian tersumbat di otak, paru-paru, usus, buah pinggang atau kaki, menyebabkan komplikasi yang serius.

Setelah bayi dilahirkan, sistem peredaran darah berbeza berbanding semasa dikandung, bayi tidak lagi memerlukan uri dan jika bersambung, darah bayi dibazirkan kerana masih disalurkan ke uri.

Belum ada kajian di Malaysia tentang keselamatan amalan lotus birth buat masa ini. Namun begitu, admin ada dimaklumkan mengenai kes kematian bayi yang dilahirkan di rumah, terkena jangkitan kuman serius (sepsis) akibat lotus birth, yang kemudiannya meninggal dunia. Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun. Diharap semoga ibu bapa mengambil iktibar dari akibat yang menimpa bayi malang tersebut.

Dr Mazlyn Mustapha
Pensyarah Perubatan
#Medical_Mythbusters_Malaysia

**********

Saya copy paste post sendiri di Medical Mythbusters Malaysia. Untuk rujukan di masa akan datang, insya Allah.

Sedih bercampur geram bila dengar cerita tentang bayi malang tersebut. Seperti yang dijangka, ibu bapa adalah penyokong homebirth dan lotus birth, dan juga anti-vaksin.