Sedih setiap kali baca berita tentang kes buang bayi…

 

Diharapkan mana-mana individu yang  mengandung luar nikah boleh dapatkan pertolongan dan tak perlu sampai merahsiakan dan membunuh kandungan.

Insya Allah ramai yang ingin dan akan membantu.

 

Dapatkan rawatan di klinik kerajaan mahupun klinik swasta.

Jika pelajar university, boleh juga tampil dapatkan pertolongan dari kaunselor university atau pensyarah.

Jangan hadapi berseorangan. Dapatkan bantuan.

(Selain itu, anak-anak remaja juga perlu dididik tentang seks, kehamilan, kaedah merancang dan mengelakkan penyakit kelamin).

Post di tulis oleh Lara Marina…

“URUSAN MEMBUKA BUKU PINK BAGI WANITA HAMIL LUAR NIKAH / TANPA PERNIKAHAN SAH

Seringkali perasaan dilema, malu, takut giat membelenggu jiwa wanita-wanita hamil yang tidak berkahwin untuk terus mendapatkan rawatan di klinik-klinik kerajaan mahupun bukan kerajaan.

Kami, anggota kesihatan ingin menegaskan bahawa TIADA MASALAH bagi wanita mengandung yang tidak pernah berkahwin untuk membuka buku pink/merah sebagai persediaan melahirkan bayi mereka di premis kesihatan yang terdekat.

Malah, KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA amat menggalak dan mengalukan kedatangan ibu-ibu tunggal ini untuk membuka buku antenatal, demi keselamatan diri ibu dan anak itu sendiri serta kebajikan ibu dan anak terjaga.

Selain itu, ia dapat membendung gejala menyorok kelahiran di rumah serta mengurangkan kejadian membuang bayi daripada terus berleluasa.

Jika didapati positif mengandung, segera ke klinik kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan kehamilan bagi memastikan keselamatan serta kesihatan ibu dan bayi di tahap memuaskan.

Bagi ibu-ibu tidak berkahwin yang usia kandungan sudah menjangkau hampir 9 bulan, tetapi belum membuka buku pink, tidak perlu takut untuk mendapatkan rawatan dan malu dengan stigma masyarakat, anda boleh segera mendapatkan rawatan yang sewajarnya di klinik berhampiran anda.

Hanya perlu membawa diri sendiri sahaja, berlainan pula jika remaja yang masih di bawah umur, mereka perlu ditemani penjaga yang sah seperti abang, kakak atau ibu-bapa untuk urusan yang berkenaan.

Ahli keluarga harus memainkan peranan dalam memberikan sokongan emosi kepada ibu-ibu mengandung yang tidak berkahwin supaya mereka tidak merasa tersisih dan dihujani perasaan takut serta malu berhadapan dengan masyarakat sekeliling. Gejala-gejala yang tidak sihat juga secara tidak langsung dapat dibendung dengan bantuan tidak seberapa kita terhadap golongan tersebut.

Gambar Sekadar Hiasan

#MisiLara
#SayaJururawat
#DelegationOfNurses”