Islam telah menyediakan syariat yang cukup indah untuk perkahwinan.

NAFKAH ZAHIR

Suami dipertanggungjawabkan memberi nafkah zahir kepada isteri sepanjang perkahwinan. Atas tanggungjawab inilah, isteri pula disuruh taat akan perintah dan suruhan suami asalkan tidak menyalahi hukum syarak.

Jika suami gagal memenuhi nafkah zahir, isteri berhak menolak hak suami, contohnya permintaan suami untuk mengadakan hubungan intim. Begitu indahnya hukum Allah dalam memberikan keadilan dalam perkahwinan kepada kedua-dua pihak.

Malang sekali, kerap didengari dan kerap menjadi aduan di Pejabat Agama, suami tidak menunaikan tanggungjawab yang sangat asas, seperti memberi nafkah zahir.

Oleh itu, saya membuat cadangan di laman facebook untuk mengadakan undang-undang yang memastikan setiap suami di Malaysia yang digajikan atau ada sumber pendapatan, nafkah zahir dipotong terus dari sumber, seperti yang dilakukan untuk cukai (potongan cukai berjadual).

Angkatan Tentera Malaysia pula telahpun melaksanakan potongan gaji sebanyak 10% dari gaji suami sejak tahun 2009, supaya isteri dijamin mendapat hak mereka. Namun begitu, masih juga ada suami yang meminta kembali wang yang telah dipotong dari sumber gaji oleh majikan.

Alhamdulillah, dalam masa 5 hari, lebih dari 200 individu telahpun menurunkan tandatangan mereka dalam petisyen Potongan Nafkah Zahir Berjadual.

Pada mulanya saya bayangkan petisyen ini akan hanya mendapat sokongan dari golongan wanita Islam. Hakikatnya, saya salah. Tidak sangka begitu ramai wanita, dan juga lelaki, dari golongan orang Islam dan juga orang bukan Islam, yang menyokong usul ini, menurunkan tandatangan dan juga berkongsi petisyen tersebut.

Bila hukum Allah ini terlaksana secara automatik melalui potongan gaji, insya Allah, tidak lagi perlu si isteri meminta sesuatu yang menjadi haknya, suami pula tidak perlu marah-marah atau bermasam muka bila isteri mengingatkan tentang hak isteri, dan anak-anak tidak perlu mendengar ibu bapa bergaduh.

Sila klik link di bawah untuk menandatangani petisyen, jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan anda.

Petisyen Potongan Nafkah Zahir Berjadual

Selain nafkah zahir untuk isteri, menjadi tanggungjawab suami juga untuk menyediakan nafkah bagi anak-anak yang dilahirkan oleh isteri. Tanggungjawab ini perlu diteruskan selagi anak-anak belum dewasa dan memerlukan nafkah dari bapa untuk membesarkan mereka dalam suasana yang mencukupi.

Sekali lagi, ramai suami dan bekas suami yang gagal menyediakan nafkah anak-anak yang mencukupi. Oleh itu, eloklah dijadikan secara automatik, suami perlu membayar nafkah anak untuk setiap anak yang dilahirkan oleh isteri, bermula sewaktu isteri mengandung, sampai anak dilahirkan dan sehingga anak dewasa.

Insya Allah, usaha untuk melindungi hak isteri dan anak-anak akan mengelakkan dari penganiayaan berlaku.

Saya dimaklumkan, jika isteri gagal mendapatkan hak nafkah zahir, dan jika bekas isteri gagal mendapatkan hak nafkah anak-anak, mereka perlu hadir ke mahkamah, berulang kali untuk meminta perintah mahkamah semata-mata untuk mendapatkan hak yang wajib di sisi Allah. Mengapa begitu? Sedangkan isteri ada yang tidak mempunyai sumber pendapatan, sudahlah bersusah payah membesarkan anak-anak, di paksa pula mengemis dari mahkamah untuk mendapatkan wang yang sedikit.

Lelaki tersebut merupakan ayah yang sah, potong sajalah gajinya supaya anak-anak dapat dibesarkan oleh bekas isteri dengan mudah.